Friday, July 17, 2009

BAKTI ABADI
















Pandangannya tertumpah pada air Sungai Murni yang mengalir perlahan. Imbauan nostalgia sewaktu zaman anak-anak masih segar di ingatan. Amir senyum sendirian. Sudah lama dia tidak ke situ. Masihkah ada kesempatan untuk dia melakar impian baru. Seperti waktu dahulu, di situlah Amir duduk sendirian menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.
Dunia bak persinggahan ini seakan cemburu untuk dia mengisi sesingkat waktu yang masih berbaki. Amanat ayahnya l0 tahun yang lalu seakan baru semalam di dengarnya.
“Jaga diri kau di tempat orang. Jadikan kesempatan hidup di dunia ini untuk jadi orang yang berguna. Solat lima waktu jangan kau tinggalkan”. Lembut tapi tegas pesanan Haji Syamsul. Amir melepaskan keluhan sambil melangkah perlahan menyusuri tebing Sungai Murni. Apakah itu kali terakhir dia ke situ. Amir menarik nafas dalam-dalam. Akur pada ketentuan Tuhan.

Senja mula melabuhkan sayapnya. Sayup-sayup kedengaran suara azan Magrib memecah kesunyian waktu senja. Dari jendela rumah barunya, Hajjah Su memerhati anak bujangnya terkial-kial menunggang motosikal buruk ayahnya menuju ke masjid. Itulah kebiasaannya bila berada di kampung. Jarang sekali dia mahu mengunakan kereta semasa di kampung. Katanya dah puas naik kereta di KL. Anak bujangnya yang seorang ni memang agak pelik. Sudah melewati usia 37 tahun tapi masih enggan berumahtangga. Dari kecil hinggalah sekarang, Amir memang anak yang paling rapat dengannya. Amran, abang sulungnya dan Hamidah kakaknya, tidaklah serapat Amir dengannya. Malah Farah, adik bongsunya juga tidak semanja Amir.
Hajjah Su hanya mampu mengeleng kepala dengan kerenah anaknya yang satu ini. Sejak akhir-akhir ni Amir selalu balik kampung. Katanya nak berehat dari kesibukan kota. Cuma yang menghairankan, kenapa kali ini lama benar dia bercuti.
“Amir tak berapa sihatlah mak. Amir nak rehat panjang. Bermanja dengan mak. Makan masakan mak. Kat KL tu serba serbi memeningkan kepala,”. Raut wajahnya yang lesu membayangkan dia sedang menanggung keperitan hidup.
“Iyalah,” Tiba-tiba hati keibuannya menjadi sayu dengan kata-kata Amir.
“Haa, malam ni mak masak gulai ayam kampung,”. Permintaan seumpama itu sudah acapkali didengar sejak dahulu lagi. Tapi saudaranya yang lain tidak pernah cemburu. Mereka semua tahu Amir memang manja dengan ibunya bahkan dengan semua ahli keluarganya. Tidak pernah Amir menyakiti hati ibu dan ayahnya. Cuma perangainya memang lain dari yang lain. Walaupun manja dan bersifat keanak-anakan, dia selalu beralah. Kalaupun dimarahi ibunya, dia akan hanya tersenyum dan diam sahaja.

Sebagai anak yang paling berjaya di menara gading perguruan tinggi, Amir memang banyak membantu keluarga. Rumah yang ada sekarang pun dibuat atas kemahuan Amir.
“Buat apalah kau berhabis duit banyak-banyak buat rumah besar macam ni,”
Amir tersenyum saja memandang ibunya.
“Biar kita selalu selalu dapat berkumpul di sini. Lagipun berapalah sangat belanja buat rumah ni dibanding dengan pengorbanan mak dan ayah selama ini,”
Baktinya pada keluarga bukannya sedikit. Hajjah Su juga kenal benar dengan sifat pemurah Amir. Sewaktu Amran, abang sulongnya membuat rumah di tanah hujung kampung, ringan tangannya menghulur duit sebanyak RM15,000.
“Banyak sangat ni Amir, macamana abang nak ganti nanti,”. Tergamam Amran dengan pemberian sebanyak itu.
“Tak apalah bang. Ini sedekah saya untuk abang sekeluarga. Biar Kak Salmah dan anak-anak abang suka dapat tinggal dirumah sendiri,”
Hajjah Su senyum dan mengganguk saja bila melihat Amran masih terkejut dengan pemberian Amir. Tahu benar dia hati budi Amir.
Semua perbelanjaan Farah di kolej juga Amir yang tanggung. Kadang-kadang dia di marahi ayahnya kerana berlebihan memanjakan Farah.
“Biarlah dia rasa sedikit kemewahan, asalkan pelajarannya tak terabai. Tahun lepas pun dia lulus cemerlang,”.
“InsyaAllah. Farah janji dengan abang. Farah akan belajar sungguh-sungguh,”
Farah yang kebetulan ada di situ tersenyum simpul, mengiakan kata abangnya.


Di syarikat Mawar, Amir merupakan pengarah yang disenangi semua kakitangannya. Kecekapannya mentadbir syarikat dicemburui syarikat lain yang bersaing dengannya. Namun begitu Amir akur, itu memang adat dunia perniagaan. Selama 5 tahun bekerja keras, kini syarikat Mawar sudah boleh berbangga dengan kejayaannya.
Sikapnya yang peramah dengan orang bawahan menyebabkan semua kakitangan menyukainya. Amir mempunyai kebiasaan yang agak pelik. Setiap kali kakitangannya mendapat cahaya mata, dia pasti akan datang melihat. Bayi yang yang masih kecil itu akan di kendung dan dia akan membacakan beberapa ayat Al-Quran dan mencium dahi anak kecil itu. Sebelum pulang, dia akan menyelitkan sesuatu di bawah bantal bayi.
“Kenapa dia suka sangat dengan bayi yea. Banyak pulak dibaginya duit kat anak aku. 1000 ringgit, “.
“Masa aku dapat anak pertama dulu pun dia bagi banyak tu,” Ujar Zarina bila Kak Ros sibuk memperkatakan tentang pengarah syarikat mereka.

Keputusan Amir sudah muktamad. Mesyuarat hari itu adalah kali terakhir dia di sini. Kecuali Malek, ahli lembaga pengarah lain tidak tahu menahu rancangan Amir. Cuma Malek yang tahu keadaan Amir sebenarnya.
“Semua …. Are you sure Amir?”. Faruk terperanjat bila Amir mengumumkan semua sahamnya di syarikat Mawar Berhad akan di jual. Sejak beberapa bulan lalu, Amir memang jarang menyertai mesyuarat lembaga pengarah. Selalunya, Maleklah yang mengambil alih tempatnya dan jika ada keputusan penting barulah Amir tampil membantu.
“Yes,”. Amir tersenyum melihat rakan-rakannya terpinga-pinga. Memang itulah sifatnya. Dalam apa juga keadaan dia akan sentiasa bersahaja.
“I harap you all dapat jaga syarikat ini baik-baik. Nampaknya setakat ini saja kesempatan untuk I bersama berjuang di sini. Buat sementara waktu, Malek akan mengambil alih semua urusan syarikat ini,” Tenang Amir berbicara sambil merenung satu-satu rakannya.

Kampung kita akan mendapat masjid baru. Ada seorang hamba Allah bermurah hati untuk membesarkan masjid kita ni,”.
Gembira sekali Pak Imam Husin memberitahu jemaah selepas Solat Jumaat. Kedengaran beberapa jemaah berbisik sesama sendiri. Mungkin meneka-neka siapa orangnya. Siapa pula hamba Allah itu?. Tahun lepas pun ada hamba Allah yang mendermakan RM40,000 untuk buat bangunan di sebelah masjid. Kini bangunan tu digunakan untuk kanak-kanak belajar mengaji Al-Quran. Amir yang berada di tengah masjid hanya tunduk memandang lantai.

Di kampung Sungai Murni, tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya Amir. Dia sengaja tidak mahu namanya menjadi perbualan orang. Baktinya pada kampung Sungai Murni memang banyak. Dia selalu berpesan dengan Pak Imam dan Ketua Kampung supaya merahsiakan setiap sumbangan yang diberikan.
“Bukan apa Pak Imam. Saya rasa tak selesa. Cukuplah mereka dapat faedah dari sedekah saya ni,”
“Kalau dah itu amanah kau. Pakcik ikut aje,” Pak Imam Husin mengeleng kepala. Baru sebentar tadi Amir memberinya sekeping cek bernilai RM50,000. Tak pernah dia berjumpa dengan orang yang bersedekah sebanyak itu.
“Dah niat saya. Saya suka tengok masjid ni meriah dengan aktiviti agama. Pak Imam panggillah penceramah yang bagus-bagus. Biar ramai orang datang masjid ni, ” Bersahaja tapi riak wajah Amir nampak dia bersungguh-sungguh.
Pak Imam menarik nafas panjang. Di renungnya wajah bersih Amir. Sejuk hatinya punya anak saudara yang berhati mulia sepertinya.
Amir memang rapat dengan Pak Imam Husin, abang sulung Hajjah Su. Dengan Pak Imam Husinlah dia belajar mengaji dan bertanya itu ini tentang ilmu agama. Kadang-kadang sampai larut malam mereka duduk di masjid.
“Pak Imam, kalau kita orang kaya dan sembahyang pun tak tinggal…tapi kedekut?. Adakah kita berdosa,”.
“Kalau zakat kita keluarkan, tidaklah berdosa. Tapi kalau banyak bersedekah lagi besar pahalanya,”
Amir mengangguk-angguk perlahan. Barangkali dia sudah faham.


Malam itu, rumah Hajjah Su penuh dengan anak cucunya. Kebetulan malam Jumaat. Amran sekeluarga juga ada. Maklumlah, cuti sekolah. Anak-anak pula begitu manja dengan neneknya. Selalunya Amir cukup suka melayan kerenah anak-anak. Kadang-kadang sampai riuh rendah suasana rumah dengan gelagat Amir dan anak saudaranya yang seramai 5 orang. Cuma malam itu dia tidak banyak bercakap. Sebelum anak-anak saudaranya tidur semuanya di beri pesanan supaya menjadi anak yang baik dan belajar sungguh-sungguh.
Farah pula sedang bercuti semester. Sepatutnya dia mengikuti ekspidisi mendaki Gunung Jerai, tapi bila mengetahui abang kesayangannya ada di kampung, dia membatalkan rancangannya. Baginya, bersama Amir dan ibunya lebih mengembirakan. Dialah yang sibuk memasak dengan ibunya. Cuma dia agak hairan kenapa Amir tidak banyak makan, walaupun dia memasak gulai ayam kampung kegemarannya.
“Dia tak berapa sihat tu,” Ujar Hajah Su bila melihat Farah merungut lauk masakannya masih banyak lagi.

Lebih kurang jam 4 pagi. Hajjah Su terjaga dari tidur. Memang menjadi kebiasaannya bangun untuk solat Tahajjud. Sewaktu melewati bilik solat di tengah rumah, langkahnya terhenti. Lampu bilik itu terpasang. Terdengar suara orang sedang mengaji. Perlahan dia membuka pintu. Amir sedang duduk mengadap Al-Quran. Perlahan suaranya. Mungkin dia tidak mahu menganggu orang lain.
Selepas mengambil wuduk Hajjah Su mengambil keputusan untuk solat di sebelah Amir. Bila melihat ibunya datang Amir berhenti seketika. Senyum sambil memerhatikan ibunya memakai telekung.
Selesai solat dan wirid, sengaja Hajjah Su duduk disitu. Membiarkan Amir habis membaca Al-Quran. Kedengaran suara Amir begitu perlahan dan sayu. Dada Hajjah Su tiba-tiba sebak. Sejak seminggu lalu, Hajjah Su selalu diganggu dengan pelbagai mimpi. Malam semalam dia bermimpi semua barang kemas kepunyaannya hilang. Minggu lepas pula dia bermimpi bertemu dengan arwah ibunya.
“Kenapa tak tidur, Amir?” Hajjah Su bersuara lembut setelah Amir menghabiskan bacaan terakhir surah Al-Baqarah.
“Badan rasa panaslah mak. Duduk kat sini rasa sejuk sikit,” Perlahan suara Amir sambil tunduk mencium tangan ibunya. Tiba-tiba sifat keibuannya menjadi begitu kasih pada Amir. Hajjah Su merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Amir. Dia mengambil keputusan untuk terus menemankan Amir di situ. Tambahan pula waktu Subuh pun sudah hampir tiba.
“Subuh nanti kita solat jamaah bersama. Ayah, tak payahlah pergi masjid,” Suara Amir memecah kesunyian subuh.
Haji Syamsul yang sudah bersiap sedia untuk pergi ke masjid, membatalkan hasratnya setelah mendengar permintaan Amir. Amran yang bangun agak awal juga berjamaah bersama mereka.
Dalam suasana sunyi waktu subuh, Haji Syamsul mengimamkan solat subuh dengan tenang. Setelah selesai wirid, suasana menjadi agak kelam kabut bila tiba-tiba Amir rebah disisi Hajjah Su.
Setelah dibaringkan, perlahan-lahan dia membuka mata dan meminta air. Wajahnya pucat. Haji Syamsul memberi isyarat supaya Hajjah Su memangku kepala Amir. Sebagai seorang tua, Haji Syamsul sudah dapat merasakan Amir sedang menuju perjalanan untuk meninggalkan dunia ini. Dia menyuruh Amran memanggil Pak Imam Husin supaya segera datang.
“Mak, ayah…ampunkan segala dosa dan salah silap Amir. Halalkan makan minum Amir,” Perlahan Amir bersuara.
“Bersabarlah Amir. Ingat Allah banyak-banyak. Mak dan ayah ampunkan dosa kamu,”. Amir cuba tersenyum walaupun dengan kepayahan. Tangannya mengapai adik kesayangannya. Farah yang kebingungan memegang tangan abangnya. Dia tidak dapat menahan airmata melihat keadaan abangnya sedemikian.
Sebak yang sekian lama bertahan didada Hajjah Su sudah sampai kepenghujungnya. Gugur juga airmatanya. Dia tahu Amir akan pergi meninggalkannya.

“AshhaduallaaIlaahaillallah..” Perlahan-lahan nafas Amir terhenti. Kocakan air dingin sungai Murni disubuh hari seakan merestui pemergian Amir. Sekujur tubuh diperbaringan sedang menuju ke alam yang kekal abadi.
Sewaktu Pak Imam sampai suasana begitu hening. Baru sebentar tadi Amir pergi menemui penciptanya. Pergi dengan tenang setenang suasana pagi hari Jumaat. Ketika membuka kain penutup jenazah, Pak Imam agak terkejut.
“Maha suci Allah.” Hatinya berdetik apabila melihat wajah Allahyarham seakan tersenyum. Wajah Allahyarham menunjukkan Allahyarham pergi dengan aman sebagai kekasih Allah.
“Bersabarlah Su, InsyaAllah, anak kamu tergolong dalam golongan orang yang baik-baik”. Pak Imam Husin mententeramkan Hajjah Su yang masih tergamam dengan pemergian Allahyarham dengan tiba-tiba.


Pagi Jumaat itu, rumah Haji Syamsul dipenuhi orangramai yang ingin melihat Allahyarham. Disebalik redup suasana pagi, tidak ramai yang tahu bahawa orang yang meninggal hari itu adalah orang yang istimewa di kampung Sungai Murni.
Seperti biasa sebelum jenazah dihantar ke perkuburan, Pak Imam akan memberikan sedikit ucapan.
“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Pada hari ini kita menguruskan jenazah Allahyarham Amir Hamzah Haji Syamsul. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada kampung ini. Untuk pengetahuan tuan-puan, Allahyarhamlah orang yang selama ini banyak membantu kita. Dialah hamba Allah yang selama ini banyak bersedekah. Membesarkan masjid kita, membina madrasah dan banyak lagi. Saya memegang amanah Allahyarham untuk merahsiakan perkara ini sehinggalah pada hari ini. Sama-samalah kita berdoa semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat”. Pak Imam menitiskan airmata dan tidak dapat meneruskan ucapan. Inilah kali pertama sepanjang tugasnya sebagai Imam, mengalami situasi seperti itu. Beliau ditenteramkan oleh Ketua Kampung. Sekelian yang hadir terkejut. Terjawab sudah persoalan selama ini.
Entah kenapa, pemuda-pemuda kampung Sungai Murni seakan terpanggil untuk mengusung jenazah Amir. Sejak 10 tahun lalu, tidak pernah jenazah diusung ke perkuburan. Selalunya jenazah akan dibawa dengan van Jabatan Agama Islam. Kelihatan beberapa pemuda menawarkan diri untuk mengusung jenazah Amir. Perjalanan sejauh 2 kilometer dirasakan hanya sekejap.
“Saya rasa ringan aje keranda tadi,” Mat Derus berbisik kepada Ketua Kampung. Orang tua itu senyum saja. Beberapa orang yang turut mengusung jenazah Amir mengiakan kata-kata Mat Derus. Disebalik kesedihan kehilangan seorang yang banyak berbakti, mereka merasai kepuasan menguruskan jenazah Amir.


Malek dan Dr. Zulkifli sampai dirumah Haji Syamsul ketika seluruh keluarga masih diselubungi kesedihan.
“Saya minta maaf pak cik. Dia yang meminta saya merahsiakan penyakitnya. Dia sebenarnya mengidap penyakit barah otak yang tidak boleh dirawat”. Tenang sahaja Dr. Zulkifli berbicara. Haji Syamsul dan Hajjah Su hanya mengangguk sahaja.
“Ini surat dan beberapa dokumen milik Allahyarham. Saya hanya menunaikan amanah beliau”. Malek menghulurkan beberapa sampul surat yang agak besar.

Assalamualaikum,

Redhakanlah pemergian Amir. Amir menyerahkan kepada budibicara mak dan ayah untuk menggunakan segala harta peninggalan Amir bagi jalan kebaikan. Pastikan ahli keluarga, Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Rumah Orang-orang Tua mendapat bahagian masing-masing. Sampaikan salam maaf Amir kepada penduduk Kg Sungai Murni.

Amir Hamzah.

Haji Syamsul terdiam membaca wasiat ringkas itu. Ada titis air jernih membasahi wajah tuanya. Dia tidak menyangka sungguh mulia hati anaknya. Anak yang banyak berbudi itu, kini tiada lagi disisi keluarga.
Dia sudah pergi. Tapi baktinya tetap di kenang. Pengalaman orang kampung hari itu tentunya akan dikenang hingga akhir hayat. Pemergian seorang yang banyak menaburkan bakti kepada masyarakat. Bakti yang abadi, bakti yang kekal menjadi khazanah buat penduduk Kg. Sungai Murni.

Karya : Ahmad Rafi
(Rujuk Majalah Keluarga Mac 1999)

1 comment:

  1. Semoga anda berjaya menerbitkan antologi cerpen :)

    Terus menulis!

    ReplyDelete